Monday, May 25, 2009

Sempit rezeki disebabkan dosa?

“Hishh, sudah berbelas tahun saya bekerja keras siang dan malam, tapi
hasilnya tak seberapa. Apa yang tak kena...” “Apa lagi kerja yang
saya tak buat. Semua sudah saya buat. Bak kata orang, pergi pagi balik
malam, tapi rezeki saya sekeluarga tak juga cukup-cukup. Entah apa nak
jadi...”

Begitulah bunyi keluhan ramai orang yang kita jumpa. Kadangkala kita
juga seakan-akan pernah mengomel dalam bahasa yang sama, tak begitu??

Masyarakat nyata tertekan dan gelisah menghadapi situasi tersebut
lebih-lebih lagi dalam suasana hambatan ekonomi yang mencengkam serta
kos kehidupan yang semakin tinggi. Kerana terlalu memikir dan melayan
tekanan hidup itu tanpa rasa tawakkal dan pengaduan kepada Allah yang
Maha Bijaksana dan Mengetahui, maka hari demi hari, dilaporkan semakin
bertambah ramai jumlah sang pengembara yang terpaksa pulang mengejut
kerana telah disapai tetamu tak diundang, ‘The silent killer’ yang
menjadi sebab-musabab membawa kepada kematian.

Tetamu senyap itu apa lagi kalau bukan tekanan darah tinggi. Saat awal
dilanda kemelut (tekanan hidup) ini, bagi sebahagian masyarakat Islam
yang mampu, mereka mungkin cuba mendapatkan khidmat kaunseling dari
kaunselor bertauliah. Tak cukup dengan itu, mereka bertemu dengan
pakar-pakar motivasi. Lalu beberapa tip dan panduan dibekalkan untuk
tindakkan jangka pendek dan jangka panjang.

Antaranya: faktor perancangan masa (Time manegement), faktor displin,
faktor belajar dari kegagalan, faktor meraih peluang dan macam-macam
lagilah.

Mereka juga disarankan agar membaca karangan-karangan hebat
‘mereka’ yang dinobat sebagai ‘paling berjaya’ dalam
bidang-bidang yang popular samada dalam bidang ekonomi, pentadbiran,
pengurusan, keewangan dan lain-lain lagi. Saat itu, berkobar-kobar
semangat mereka untuk meraih kejayaan dan keuntungan yang berlipat
ganda.

Namun bila terjun semula ke alam realiti atau dunia sebenar, masalah
sebenar mereka masih juga tidak hilang. Masalah hidup makin
bertimpa-timpa. Pintu rezeki semakin menyempit dan hutang pula semakin
melilit pinggang. Kawan-kawan yang konon rapat dan berikrar sehidup
semati dengan kita dulu pun, ramai yang telah ‘angkat kaki’ hilang
entah ke mana. Tanpa kembali kepada Islam, jawapan kepada
‘ketidaktentuan’ rezeki kita itu tidak akan terjawab sampai
bila-bila.

Bila pintu rezeki ditutup Allah, maka dunia terasa menghimpit. Inilah
yang dinamakan ‘Khizyun’ yakni kehinaan dunia akhirat. Wal
‘iyazubillah.

Dosa penghalang rezeki

Dari awal lagi, Islam telah mengajar umatnya bahawa meninggalkan
ketaqwaan di dalam apa jua aspek kehidupan akan mengundang kemiskinan
dan kemelaratan. Macam-macam kemiskinan boleh berlaku bila taqwa tidak
dimiliki.

Semuanya termaktub di dalam alquran dan sunnah Rasulullah SAW. Tidak
miskin harta, seseorang yang melakukan dosa terus menerus tanpa taubat
boleh jadi miskin iman, miskin hidayah, miskin ilmu, miskin akhlak dan
adab, miskin maruah dan jatidiri. Dalam kata-kata yang lain, kalau taqwa
menjadi faktor ‘pengundang’ rezeki, keberkatan dan rahmat Ilahi,
maka kesan dosa, maksiat dan mungkar adalah sebaliknya.

Lalu, pernahkah selama ini terfikir dan terlintas di hati kita, bahawa
dosa yang kita lakukan samada terhadap Allah dan sesama manusia selama
ini menjadi faktor atau penyebab ‘sempit’ dan ‘terhalang’nya
rezeki Allah dari rezeki kita? Tersebut di dalam sebuah kitab Musnad,
“Sesungguhnya manusia terhalang dari rezeki lantaran dosa yang
dilakukannya.”

Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ad Dailami, Rasululah SAW
bersabda: “Perbuatan zina itu mewariskan (mendatangkan) kefakiran
(kemelaratan) .”

Memang benar. Itulah hakikatnya. Melalui hadis-hadis Rasulullah SAW
berkenaan keutamaan amalan, bukankah istighfar kepada Allah,
menghubungkan silaturrahim, memberi sedekah, mengeluarkan zakat dan
banyak lagi menjadi faktor ‘pengundang’ dan ‘pembukaan’
pintu-pitu rezeki? Semua itu tidak lain adalah amalan taqwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Jikalau penduduk sesuatu penduduk
kampung (negeri) beriman dan bertaqwa, nescaya Kami akan bukankan ke
atas mereka (pintu-pintu) keberkatan dari pihak langit dan pihak
bumi.”Manusia yang tinggi taqwanya, mampu pula mengagih-agihkan
kurniaan dan rezeki Allah kepada insan-insan yang lain pula.

Demikianlah pengalaman benar pemandu-pemandu teksi di zaman tok kenali
rahimahullah. Wali Allah dan alim besar yang terkenal kelahiran negeri
Serambi makkah. Sekiranya beliau menaiki mana-mana teksi, maka dengan
izin Allah, maka pemandu-pemandu teksi tersebut akan mendapati penumpang
yang sentiasa penuh (tidak putus) dari awal pagi hinggalah ke petang.
Bukankah ia satu kuniaan Allah hasil ketaqwaan?

Rezeki tidak berkat

Tanpa asas taqwa, seandainya seseorang itu dilihat melimpah ruah
hartanya sekalipun, ia tak lebih merupakan ‘istidraj’ dari Allah.
Itulah pemberian yang disertai laknat dan kutukkan. Mahukah kita
dikurniakan rezeki sebegitu? Mahukan kita pemberian yang sedemikian?
Kalau jawapan kita ‘ya’, maka kita tak lebih umpama Qarun,
Tha’labah Yahudi Mabuk serta yang sama waktu dengan mereka.

Bagi golongan ini wang, harta dan kemewahan adalah segala-galanya. Dari
mana punca dan sumbernya, tidak pernah diambil kira. Mereka langsung
tidak memperdulikannya. Lihat kesudahan mereka. Tiada apa lagi yang
boleh menahan mereka daripada terkubur hina bersama dengan harta haram
dan syubhat yang mereka usahakan selama ini.

Rasulullah SAW menamsilkan bahawa harta dunia ini selamanya tidak akan
membawa kepuasan jiwa. Nafsu tidak akan merasa cukup walau sebanyak mana
pun harta yang ada. Sudah dikendong dan dikilik dunia yang pertama di
tangan kanannya, ia meminta pula agar dikurniakan dunia yang kedua dan
ketiga. Macam orang yang sangat dahaga yang diberi minum air laut.
Dahaganya tidak hilang-hilang. Apalagi kalau harta tersebut diperolehi
secara haram seperti dari sumber judi, rasuah, riba, menipu, memeras
ugut dan sebagainya.

Bagaimana perasaan hati kita tinggal, membesarkan anak-anak dan
beribadat di dalam rumah yang dibeli secara riba? Menaiki kenderaan yang
dibeli secara riba ke masjid, ke majlis ilmu dan pergi menziarahi
saudara mara? Tidak malukah kita memakan rezeki pemberian tuhan dalam
keadaan tidak bersujud, menyembah dan mentaati segala perintah yang
Esa?

Tenangkah suasana ‘airmuka’ kita saat membeli juadah santapan untuk
seisi keluarga dengan duit hasil rasuah atau sogokkan orang pada kita?
Atau dari hasil judi dan tikam ekor? Hati kita tidak terasa apa-apa
lagikah? Kalau begini halnya, percayalah bahawa tiada lagi berkatnya
dalam usaha bahkan dalam rezeki kita. Inikah yang kita cari sepanjang
musafir kita di dunia ini?

Begitulah buruknya kesan dosa dan maksiat dalam kehidupan kita.
Mudah-mudahan kita dipelihara Allah SWT. Suluhlah hakikat diri dan
kehidupan kita selama ini. Nescaya kita akan dapati ada kebenarannya apa
yang kita utarakan ini.

Jangan lupa, kiaskan pula pada keluarga dan masyarakat kita. Ingatlah,
sekiranya dosa membeliti diri, maka kurniaan rezeki tidak lagi
menguliti. Sekalipun ia tampak menguliti diri, namun sama-sekali ia
tidak diberkati.

No comments: