Friday, September 12, 2008

aku mencari.... cara solat

SOLAT JAMAK dAN QASAR


Maksud solat qasar bagi orang yang musafir ialah memendekkan atau meringkaskan solat fardhu yang empat rakaat ( Zohor, Asar dan Isya’ ) menjadi dua rakaat sahaja, dengan syarat ia masih lagi dalam musafir dan musafir itu bukan kerana maksiat (sesuatu yang dilarang oleh syarak) kerana solat qasar itu merupakan satu kelonggaran yang hanya dikhususkan kepada orang yang musafir sahaja. Manakala solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan malahan ditunaikan dengan sempurna seperti biasa.

Syarat-syarat solat qasar

  • Musafirnya hendaklah tidak bertujuan maksiat.
  • Perjalanannya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah.
  • Solat yang diqasarkan itu hendaklah solat Zohor, Asar, dan Isya’ sahaja yang dilaksanakan secara tunai. Sebab itu tidak dibolehkan qasar solat qada’ dalam musafir bagi solat yang ditinggalkan semasa di dalam kawasan kediaman. Solat yang ditinggalkan dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan di dalam musafir.
  • Hendaklah diniatkan qasar di dalam masa takbiratul ihram.
  • Tidak boleh berimamkan orang yang bersolat tamam ( sempurna ).
  • Hendaklah tempat yang dituju itu tertentu. Jika sekiranya tempat yang dituju itu tidak tentu, maka tidak boleh qasar.
  • Berkekalan perjalanannya sehingga sempurna solat.
  • Ia tahu bahawa orang yang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.

SOLAT JAMAK

Orang yang musafir yang memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang diharuskan solat qasar, harus solat jamak. Maksud solat jamak ialah menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat dalam satu waktu iaitu menghimpunkan solat Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isya’ dalam satu waktu yang sama, samada dalam waktu yang pertama atau yang kedua.
Solat jamak terbahagi kepada dua iaitu Jamak Taqdim dan Jamak Takkhir.

  • Solat Jamak Taqdim

Jamak Taqdim dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Zohor, atau solat Maghrib dan solat Isya’ pada waktu Maghrib. Dinamakan solat ini dengan Jamak Taqdim kerana solat yang kedua yang belum masuk waktunya dibawa ke solat yang pertama.

Syarat-syarat Jamak Taqdim

    • Hendaklah didahulukan solat yang empunya waktu dengan tertib, ertinya dilakukan solat Zohor dan Maghrib yang dikira solat yang pertama atau yang dahulu itu kemudian barulah diikuti dengan solat yang dijamakkan iaitu Asar dan Isya’ yang dikira solat kedua.
    • Hendaklah diniatkan jamak pada solat yang pertama atau yang empunya waktu itu dalam mana-mana juzud sembahyang sebelum salam tetapi yang afdal disyaratkan niat semasa takbiratulihram.
    • Hendaklah berturut-turut atau mualat antara dua solat itu dengan tidak diselangi dengan penceraian yang dikira panjang uruf.
    • Hendaklah ia berkekalan pada musafirnya daripada permulaan solat yang pertama hingga sempurna takbiratul ihram solat kedua, kerana batal solat jamaknya dengan jadi mukim di antara dua solat itu.
Solat Jamak Takkhir

Jamak Takkhir dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dilakukan dalam waktu Isya’. Dinamakan solat ini dengan Jamak Takkhir kerana solat pertama yang telah masuk waktunya dibawa ke solat yang kedua.

Syarat-syarat Jamak Takkhir

    • Hendaklah berniat Jamak Takkhir sebelum habis waktu solat yang pertama, kerana jika ia tidak berbuat demikian hukumnya haram mentakkhirkan solat yang pertama itu daripada waktunya dan solat itu jadi qada’ pada waktu yang kedua.
    • Hendaklah berkekalan musafirnya itu sehingga diselesaikan solat yang kedua, dan sekiranya ia telah jadi mukim sebelum selesai solat yang kedua nescaya yang pertama itu jadi solat qada’.

HAL BERKENAAN SOLAT QASAR dAN JAMAK


Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah, maka ia harus melakukan solat qasar dan jamak sekali. Ertinya ia boleh menjamakkan di antara dua solat serta mengqasarkan sekali. Walau bagaimanapun, ia boleh melakukan di antara satu yang berikut:

  • Menjamakkan dua solat fardhu tanpa qasar.
  • Menjamakkan dua solat fardhu dan qasar.
  • Mengqasarkan solat tanpa jamak iaitu mengerjakan solat Zohor, Asar , Isya’ dengan dua rakaat yang berasingan.

Solat jamak dan qasar ini adalah suatu keringanan yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya dalam segenap masa bagi orang musafir, senang atau susah asalkan melebihi dua marhalah.

Permulaan musafir ini dikira setelah kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi.

Akhir musafir ialah apabila kita memasuki kawasan permulaan musafir tadi.

Solat jamak dan qasar boleh dilakukan apabila perjalanan seorang musafir tidak kurang dari 60 batu atau 100 km walaupun ada khilaf ulama dalam penentuan jarak jauhnya. Jadi, untuk berhati-hati, eloklah dikira dari 60 batu.

Solat bagi orang yang musafir ini ada tiga cara:

  • Jamak dengan qasar sekali.
  • Jamak sahaja tanpa qasar.
  • Qasar sahaja tanpa jamak.

Di antara dua solat jamak tidak boleh dipisahkan dengan jarak yang sangat lama. Oleh itu, selepas sahaja salam, teruskan sahaja solat yang kedua dengan hanya diselangi oleh iqamat sahaja. Solat Jamak dengan satu kali azan dan dua kali iqamat.

Orang yang melakukan solat qasar tidak boleh berimamkan orang yang solat sempurna ( tamam ). Apabila seseorang itu sudah sampai ke kawasan permulaan ia bertolak tadi, maka selesailah solat jamak dan qasarnya. Ia tidak boleh lagi mengerjakan solat secara jamak dan qasar.

Apabila seseorang itu bermusafir dan berhenti pada satu tempat selama 4 hari atau lebih, maka putuslah safarnya. Tapi, sekiranya ia hendak berhenti di situ selama tiga hari, maka bolehlah solat jamak dan qasar. Tiga hari itu tidak termasuk hari sampai dan hari keluar.

Apabila seseorang itu berhenti di suatu tempat dengan niat akan berada di situ selama tiga hari, tapi kerana urusan tidak selesai dari sehari ke sehari, maka ia diharuskan jamak dan qasar sehingga 18 hari.

Apabila seseorang itu bermusafir kerana sesuatu maksiat, maka ia tidak diharuskan solat jamak dan qasar. Bagi mereka yang hendak mengerjakan solat Jamak Takkhir hendaklah berniat lebih awal; jangan sampai waktu hendak baru berniat.

Perjalanan seseorang musafir hendaklah tentu dan ia tahu ke mana arah tujuannya. Jika ia tidak tahu ke mana hendak diarahkan perjalanannya itu, maka tidak boleh jamak/qasar.

Orang yang musafir kurang dari tiga marhalah (90 batu) maka afdal solat sebagaimana biasa. Jika perjalanannya melebihi 90 batu, maka baginya lebih afdal mengerjakan solat jamak dan qasar.

Kemudahan solat jamak ( jamak sahaja ) juga diberikan kepada ahli karyah yang ingin mengerjakan solat berjemaah apabila hujan lebat dan kampung itu merupakan satu kawasan yang biasa lecah dan becak dengan syarat ada hujan pada awal kedua-dua solat dan di antara keduanya dan pada salam solat pertama. Tidak mengapa kalau sekiranya hujan itu berhenti di pertengahan solat pertama atau di pertengahan solat kedua.

http://cybermosque.mpsj.gov.my/cara.html