Pernikahan merupakan satu syariat dan rahmat daripada Allah s.w.t. kepada manusia. Melaluinya akan terjalin perasaan kasih sayang antara lelaki dan perempuan. Sesungguhnya perkahwinan adalah fitrah semula jadi manusia yang memerlukan teman bagi perkongsian hidup di dunia ini. Pernikahan merupakan satu syariat dan rahmat daripada Allah s.w.t. kepada manusia. Melaluinya akan terjalin perasaan kasih sayang antara lelaki dan perempuan. Sesungguhnya perkahwinan adalah fitrah semula jadi manusia yang memerlukan teman bagi perkongsian hidup di dunia ini.
Sejarah penciptaan Adam dan Hawa membuktikan betapa pentingnya hubungan antara lelaki dan perempuan. Selain berkongsi kasih sayang, ia juga mampu mengembangkan zuriat manusia sehingga hari ini. Justeru itu perkahwinan diciptakan oleh Allah s.w.t. dengan penuh hikmah kepada hamba-Nya.
Sehubungan itu, setiap manusia sama ada lelaki mahupun perempuan pastinya mempunyai keazaman untuk berumah tangga. Cumanya, cepat atau lambat bertemu jodoh adalah ketentuan dan bidang kuasa Allah s.w.t. semata-mata. Ada individu yang cepat bertemu jodoh tetapi berakhir dengan perceraian dan ada pula yang ringan jodohnya dan kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.
Sebenarnya ia adalah senario biasa di dalam kehidupan masyarakat. Justeru bagi pasangan yang berumah tangga, peliharalah masjid yang dibina dengan sebaiknya iaitu mengikut saranan agama dan mencontohi rumah tangga Rasulullah s.a.w. Nikah adalah sunah Rasulullah s.a.w. kepada seluruh umat baginda. Bahkan Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud; ``Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki, isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang berfikir.'' (lah-Rum:21) Ayat di atas menunjukkan betapa kejadian manusia lelaki dan perempuan atau suami dan isteri adalah rahmat daripada Allah s.w.t. Justeru setiap manusia sama ada lelaki atau perempuan berhak menikmati kasih sayang dan rahmat tersebut.
Merujuk kepada anak dara lanjut usia atau andalusia yang pernah hangat dibincangan dalam masyarakat. Sebenarnya ia bukanlah suatu isu besar jika masyarakat kembali kepada prinsip, iaitu soal jodoh pertemuan yang merupakan ketentuan Allah s.w.t. Andalusia bukanlah masalah sosial yang berat di dalam masyarakat jika dibandingkan dengan permasalahan yang ditanggung oleh ibu tunggal, anak yatim atau dibandingkan dengan berbagai-bagai kes salah laku akhlak seperti seks bebas, sumbang mahram dan sebagainya.
Namun demikian, kaum wanita tidak boleh berpegang kepada prinsip jodoh semata-mata. Ini kerana Allah s.w.t. mengurniakan akal dan usaha untuk mencapai sesuatu matlamat. Islam membolehkan wanita berusaha dan merancang untuk membina rumah tangga dengan lelaki pilihan. Pepatah Melayu `perigi mencari timba' bukanlah suatu yang menyalahi syariat.
Tradisi ini telah dipecahkan melalui perkahwinan Siti Khadijah lah.a. dengan Rasulullah s.a.w. Sama ada wanita yang berjawatan tinggi atau sebaliknya, apa yang dicontohkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. ini boleh dijadikan teladan kepada sekalian umat. Apa kurangnya Siti Khadijah jika hendak dibandingkan dengan wanita professional hari ini?
Beliau wanita kaya, tokoh korporat yang berjaya dan juga banyak umurnya ketika berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. yang berusia 25 tahun. Tetapi soal yang paling penting ialah sejauh manakah setiap wanita boleh menerima perkongsian dengan lelaki di dalam hidup mereka. Ini kerana pernikahan merupakan satu perkongsian antara lelaki dan perempuan.
Justeru itu, kaum wanita berhak menentukan lelaki pilihan masing-masing sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan Siti Khadijah lah.a. Untuk itu, wanita boleh mempraktikkan garis-garis yang dianjurkan Islam dalam pemilihan jodoh atau calon suami. Sama ada lelaki atau perempuan, mereka diberikan kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing mengikut kesesuaian diri masing-masing. Di antara garis-garis anjuran syarak ialah :
i. harta
ii. keturunan
iii. kecantikan
iv. agama
Meskipun saranan ini seringkali diamalkan oleh pihak lelaki ketika memilih calon isteri, sebenarnya wanita juga boleh mengaplikasikannya ketika memilih calon suami. Empat ciri yang dianjurkan syarak boleh membantu membentuk keluarga bahagia. Namun demikian sekiranya keempat-empat ciri tidak dapat dipenuhi oleh calon suami, maka utamakan anjuran keempat iaitu agama. Selain itu, konsep sekufu juga boleh diamalkan dalam pemilihan calon suami ketika mengatur atau merancang berumah tangga. Persamaan taraf ini juga perlu diberi perhatian agar perkahwinan yang dibina kekal bahagia hingga akhir hayat.
Ini kerana kegagalan sesebuah rumah tangga membawa kesan lebih buruk lagi terutamanya pihak suami-isteri, anak-anak dan masyarakat amnya.
Oleh itu, setiap pasangan harus menyedari bahawa perkahwinan bukanlah bertujuan memenuhi tuntutan naluri seksual semata-mata. Sebaliknya perkahwinan adalah satu perkongsian hidup antara dua insan lelaki dan perempuan. Kedua-dua pihak mestilah sedia berkongsi dalam apa jua hal, sama ada kasih sayang, tanggungjawab, peranan dan sebagainya.
Justeru itu, tidak wujud istilah lelaki atau wanita kolot yang diperkatakan dewasa ini jika amalan perkongsian dipraktikkan. Jika isteri sanggup berkongsi membantu suami menambahkan sumber pendapatan keluarga, maka suami pula mestilah ringan tulang membantu isteri di rumah seperti memasak, membasuh dan sebagainya.
Sebenarnya nilai kesefahaman dan kerjasama suami isteri sangat penting dalam membina rumah tangga yang rukun dan tenteram. Setiap pasangan sama ada lelaki atau perempuan mestilah menerima pasangan masing-masing dengan seadanya. Ini kerana setiap individu ada kekurangan dan ia boleh diatasi dengan kelebihan pasangannya. Kesimpulannya soal jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah s.w.t., tetapi manusia dikurniakan akal dan kudrat untuk merancang kehidupan masing-masing.
Apa yang pasti kebahagiaan rumah tangga bermula daripada pemilihan bakal suami atau bakal isteri mengikut saranan agama. Manakala rumah tangga yang bahagia terletak kepada semangat perkongsian dan musyawarah antara suami isteri serta menerima pasangan masing-masing seadanya
No comments:
Post a Comment